Polis beri amaran penyokong Anwar jangan sebar khabar angin, buat kecoh
Posted On Sunday, June 29, 2008 at at 4:52 PM by Angkatan Muda Keadilan KBKUALA LUMPUR: Polis semalam memberi jaminan akan melakukan siasatan dengan adil dan telus berhubung dakwaan terbaru kes liwat membabitkan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim. Sehubungan itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Mohd Bakri Mohd Zinin, mengingatkan penyokong Anwar supaya tidak melakukan sebarang kekecohan atau menyebarkan khabar angin yang boleh mengancam ketenteraman awam.
Sejak malam kelmarin, ramai penyokong Anwar dikatakan berkumpul di sebuah hotel di Shah Alam, terutama selepas menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) yang mendakwa Penasihat PKR itu akan ditahan kerana dituduh meliwat seorang pembantunya, berusia 23 tahun Khamis lalu.
Majlis Tertinggi dan Biro Politik PKR turut mengadakan mesyuarat tergempar malam kelmarin, manakala Presidennya, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada sidang media semalam mempertahankan suaminya dan menyifatkan tuduhan terbaru itu sebagai satu lagi konspirasi politik untuk mengalihkan tumpuan terhadap kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu. Anwar bagaimanapun tidak hadir pada sidang akhbar parti itu kerana berlindung di Kedutaan Turki di sini dan mengeluarkan kenyataan sembilan perenggan pada jam 5.30 petang semalam bagi menjelaskan mengenai dakwaan terbaru terhadapnya itu.
Awal pagi kelmarin, Anwar dalam satu kenyataan yang dibacakan Naib Presiden PKR, R Sivarasa, menyifatkan dakwaan itu 'hanya rekaan semata-mata' dan laporan polis itu dibuat bagi menyekat kebangkitan karier politiknya selepas kemenangan besar pembangkang pada pilihan raya umum lalu. Anwar juga mendakwa ia satu lagi rancangan jahat diatur pihak tertentu sebagai tindak balas terhadap bukti yang diperolehnya membabitkan salah guna kuasa Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail. Mohd Bakri pada sidang medianya bagaimanapun menegaskan, semua pihak tidak seharusnya membuat sebarang andaian terhadap kes ini, sebaliknya hendaklah memberi peluang kepada polis melakukan siasatan dengan adil. "Dakwaan Anwar juga satu andaian kerana sehingga kini belum ada sebarang laporan polis dilakukan. Kita akan membuat penyiasatan secara terperinci dalam semua aspek dari segi perundangan.
"Siasatan baru bermula. Kita akan melihat tuduhan yang dilakukan pengadu secara teliti dan mengenal pasti seksyen mana yang mengaitkannya," katanya tetapi enggan mengulas sama ada Anwar akan dipanggil memberi kenyataan dalam masa terdekat. Beliau berkata, pengadu membuat laporan di pondok polis Hospital Kuala Lumpur (HKL), kira-kira jam 5.45 petang kelmarin dengan mendakwa diliwat Anwar di sebuah kondominium di Damansara pada 26 Jun lalu. Mengenai dakwaan penyokong Anwar yang pengadu dipaksa membuat laporan polis, Mohd Bakri berkata, pengadu membuat laporan itu secara sukarela.
Sumber Berita Harian.
Anwar Fail Saman Berkenaan Laporan Polis Fitnah Pada 30 Jun (Isnin)
Posted On at at 1:42 PM by Angkatan Muda Keadilan KBWakil peguam Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memfailkan saman berkenaan laporan polis berbau fitnah yang dibuat ke atasnya itu pada 30 Jun (Isnin), jam 9:30 pagi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Jalan Duta.
Cadangan asal untuk membuat laporan polis ke atas Ketua Polis Negara Musa Hassan dan Peguam Negara Abdul Gani Patail berhubung salahlaku, termasuk mereka bukti dalam kes-kes terhadapnya pada 1998-1999 telah ditangguhkan.
6 Ditahan Protes Harga Minyak
Posted On at at 1:20 PM by Angkatan Muda Keadilan KBPolis menahan enam orang peserta program berjalan secara aman membantah kenaikan harga minyak di ibu negara hari ini.
Mereka yang memakai baju berwarna merah, berjalan dari beberapa lokasi di Kuala Lumpur menuju ke kompleks membeli belah Sogo mulai jam 3 petang tadi.Kira-kira 50 anggota polis termasuk anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) ditugaskan untuk menghalang perarakan tersebut.
Program tersebut dianjurkan oleh Gerakan Rakyat Anti Manipulasi Minyak (Geramm) dan disertai oleh Angkatan Muda Keadilan (AMK), Pemuda PAS dan DAP.
Ia turut disertai oleh badan-badan bukan kerajaan termasuk Kelab Rakan Siswa Islah Malaysia (Karisma), Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Gerakan Demokratik Belia dan Pelajar Malaysia (Dema), Gabungan Mahasiswa Islam Semenanjung (Gamis) dan Youth For Change.Menurut Harakahdaily, mereka yang ditahan ialah Presiden Ikrar, Mustafa Mansor; Setiausa AMK Pusat, Zulfiqar Ali Arifin; Setiausaha Ikrar, Muhammad Hidhir Khalid; Setiausaha AMK Batu, Norsharizal Abd Razak; ahli Anwar Ibrahim Club (AIC), Mohd Herman Muhammad; dan 'Bob' juga ahli AIC. Mereka dibawa ke Balai Polis Tun HS Lee untuk disoalsiasat. Ketua AMK, Shamsul Iskandar Mat Akin turut berada di hadapan balai polis berkenaan.